Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Daging Qurban sempena Program “Qurbani 2009” bertempat di Surau Taman Ehsan Ibu, Rawang, Selangor.
Program `Qurbani 2009` anjuran Islamic Relief Malaysia ini merupakan program pengagihan daging Qurban bagi membantu meringankan beban golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi menyambut kehadiran Eidul-Adha ini. Program ini juga telah disertai oleh sukarelawan-sukarelawan Islamic Relief Malaysia dan juga penduduk setempat di kawasan tersebut.
Melalui majlis ini, seramai 100 buah keluarga yang layak menerima sumbangan tersebut. Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal dan juga anak yatim yang layak menerima sumbangan daging Qurban tersebut. Pelaksanaan ibadah Qurban tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai dan juga syarikat korporat melalui kempen `Qurbani 2009` sejak ia dilancarkan pada hujung October yang lepas.
Melalui kempen ini, pihak IRM telah memberi peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melaksanakan ibadah qurban di 28 buah negara termasuklah Malaysia, Somalia, Bangladesh, Afghanistan, Sri Lanka, India, Sudan, Malawi, Ethiopia, Kenya, Niger, Pakistan, Chad, Malim China, Bosnia, Kosovo, Iraq, Chechnya, South Africa, Yemen,Indonesia, Albania, Turkey, Jordan, Egypt dan Lebonan.
Pelaksanaan ibadah qurban peringkat Malaysia turut diadakan di 4 buah negeri iaitu Kelantan,Kedah, Melaka dan juga selangor. Di negeri Kelantan ia akan dilaksanakan di Kg Laha, Pulai Chondong . Manakala di Kedah pula ia melibatkan 4 buah kampung yang berbeza iaitu Kg Teluk Malik di Kepala Batas, Kg Bukit Tinggi di Mukim Kepala Batas, Kg. Pulau Maharaja di Mukim Padang Perahu dan di Kuala Sala, Yan. Di Negeri Selangor, pelaksanaan ibadah qurban akan di buat di Sg. Choh Rawang dan di Kg. Batu 20, Sg.Lui, Ulu Langat. Manakala di Melaka pula akan Kg. Orang Asli,Bukit Sebang, Alor Gajah. Pelaksanaan ibadah qurban di Malaysia ini memfokuskan pengagihan daging segar kepada golongan fakir miskin,anak yatim, oku dan juga masyarakat orang asli.
Pada kebiasaannya, daging qurban segar akan di agihkan kepada fakir miskin. Tetapi konsep yang berbeza telah diperkenalkan oleh IRM dengan membuat pengagihan daging Qurban dalam tin kepada negara-negara yang mengalami penderitaan dan kemiskinan. Untuk tahun 2009, sebanyak 10,000 ekor kambing biri-biri telah dibawa masuk ke Malaysia dari Arab Saudi untuk menjalani proses pembuangan tulang (debonding) dan juga proses pengetinan sebelum dihantar ke negara-negara miskin yang telibat dengan program ini.
Konsep pengagihan daging qurban yang bersistematik dan teratur kepada golongan yang amat memerlukannya merupakan agenda utama Islamic Relief dalam menyampaikan amanah orang ramai. Melalui cawangan Islamic Relief di seluruh dunia, pengagihan akan dibuat kepada mereka yang betul-betul layak menerimanya bagi memastikan ibadah qurban yang ditunaikan ini akan mencapai matlamatnya agar manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.
Sempena kempen ‘Qurban ke arah kebajikan’ pihak IRM telah mensasarkan untuk mengagihkan daging Qurban dan bantuan makanan kepada 3000 keluarga miskin di Malaysia dan seluruh dunia.
0 comments:
Post a Comment